Skip to content

Aidil-adha membawa semangat Korban….

22 November 2009

Hari Raya aidil-adha adalah hari besar bagi Umat Islam yang dirayakan sekali dalam setahun sebagaimana Hari Raya aidil-fitri.  Pada Hari Raya aidil-adha ini dilaksanakan  Solat Sunat aidil-adha selepas hari wukof 9 Zulhijjah,   masa para Jemaah Haji berkumpul di Padang Arafat sebagai gambaran Padang Mahsyar di mana berhimpunnya seluruh umat manusia untuk dihisab segala amalnya.

Bagi masyarakat setempat Hari Raya aidil-adha atau Hari Raya Korban ini kurang meriah sambutannya berbanding sambutan Hari Raya aidil-fitri,  sedangkan kalau diambilkira dari segi tuntutan hukum Islam, sambutan Hari Raya aidil-adha  sepatutnya lebih besar sambutannya kerana ia membawa semangat korban dan ibadah korban itu pula hukumnya sunat yang sangat dituntut bagi mereka yang berkemampuan melaksanakannya dalamasa 3 hari selepas daripada selesai melaksanakan solat aidil-adha sehingga jatuhnya waktu asar pada Hari Tasyrik iaitu 13 Zulhijjah.

Setiap kali datang Hari Raya Korban, teringatlah kita kembali kepada kisah Nabi Ibrahim a.s. sebagai orang yang melakukan korban yang sangat luarbiasa, satelah mendapat perintah Allah supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. melalui mimpi baginda.  Sebagai orang biasa kita dapat membayangkan bagaimana perasaannya, Namun bagi Nabi Ibrahim perintah Allah ini tidak sama sekali diengkari dan baginda akur dengan ketentuan dari ilahi walaupun Iblis cuba mempengaruhi sehingga Baginda melontarnya. Nabi Ismail sebagai anak yang tidak hanya taat kepada orang tuanya bahkan lebih mentaati akan perintah Allah, dengan senang hati menerima keputusan ayahnya dan redha untuk disembelih sebagaimana diperintahkan Allah.  Allah Yang Maha Rahman  Maha Mengetahui,  melihat semua kejadian itu sebagai tanda dari ketaatan Nabi Ibrahim terhadap perintahNya, maka  oleh Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu dengan izinNya telah menukarkan Nabi Ismail dengan seekor Kibas untuk disembelih sebagai Korban, dan daripada peristiwa yang berlaku kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu lah Ibadah Korban mengambil sempena.

Bagi kita umat Islam hari ini, sudah semestinya mengambil ittibar daripada peristiwa korban itu, bukan hanya kepada korban menyembelih haiwan ternakan sahaja malah lebih utama lagi bersedia untuk berkorban menyembelih sifat-sifat  kehaiwanan yang ada pada diri kita. Berkorban untuk meninggalkan apa yang menjadi kesenangan kepada kita misalnya berfoya-foya, mengumpulkan harta dengan tidak mengira halal haramnya, ditambah lagi dengan kesukaan mengadu domba, memfitnah serta mencaci, berhasad dengki dan banyak lagi,  itulah yang sepatutnya dikorbankan sebagai menyempurnakan ketaatan terhadap perintah-perintah Allah untuk menciptakan perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan seharian kita.

Pokok pangkal bagi semua itu adalah hati  manusia sendiri atau istilah yang paling sesuai ” Qalbu “.  Apabila  qalbu telah diselimuti kekotoran atau penyakit hati, segala kebaikan dan kebenaran tidak akan terlihat lagi yang akan ada padanya ria, takabbur, dendam kesumat yang akan memakan hatinya  itu sendiri. Hadith Rasulullah SAW yang sangat masyhur dan sentiasa jadi mainan kata dibibir sebagai hujjah bukan sahaja kepada para Daie bahkan orang awam  juga, bahawa Rasulullah pernah bersabda yang mafhumnya ” Pada diri anak Adam itu ada seketul daging yang jika keadaan daging itu baik akan baiklah keseluruhan dirinya dan jika keadaan daging itu rusak akan rusaklah keseluruhan dirinya. Ketahuilah seketul daging itu ialah hati (qalbu) “.

Maknanya qalbu yang ada padanya sifat-sifat keruhanian yang dititipkan Allah,  adalah komponen diri yang sangat bernilai dan letaknya pandangan Allah terhadap manusia, ia umpama cermin yang bersih dan berkilau yang akan menerima pantulan cahaya sebagaimana cahaya itu adanya begitu juga sebaliknya kalau cermin itu kotor sudah tentu ia tidak akan berhasil menerima pantulan cahaya itu sepertimana yang dikehendaki.  Ingatlah setiap segala sesuatu itu ada alat pencucinya, begitu juga dengan qalbu itu, Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya ” Setiap sesuatu ada alat pencucinya dan pencuci qalbu adalah dzikrullah ” ,   jelas sudah bahawa dzikrullah atau mengingat Allah itu keperluan yang utama kepada manusia kenapa tidak,  Allah yang telah menciptakan manusia dengan segala kesempurnaan baik lahir bahupun bathin, sudah semestinya mendapat tempat yang paling utama di hati manusia sebagai menifestasi syukur  kepadanya atas  limpahan segala rahmat kepada manusia seluruhnya, bermula daripada kita masih lagi dalam kandungan  rahim ibu, kemudian  lahir ke dunia bahkan sampailah di akhirat pun, Allah masih terus dan tidak pernah putus rahmatnya kepada manusia.  Barang perlu diingat sehebat mana juga amal ibadah yang dilakukan oleh manusia terhadap Allah, tidak akan menambah walau sebesar debu kemuliaan dan keagungan yang ada pada Allah, begitu jugalah sebaliknya sejahat mana atau sekeji mana juga amal perbuatan manusia itu,  tidak akan menjejaskan atau mengurangi walau sebesar debu kemuliaan dan keagungan yang ada pada Allah,  bererti segala amal perbuatan manusia itu kembali kepada kepada dirinya juga.

Bersempena datangnya Hari Raya korban ini, marilah kita bermuhasabah diri dengan menanamkan sifat berkorban yang sangat mulia pada diri kita, kejayaan tidak akan dapat diraih dengan begitu mudah tanpa adanya pengorbanan. Korban ..berkorban …pengorbanan rangkaian yang tidak akan dapat dipisahkan kalau menghendaki kejayaan.

 

Akhirnya seluruh karyawan USIA Semporna ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil-adha kepada seluruh umat Islam khususnya warga Semporna  dan  di seluruh Negara bahkan seluruh dunia amnya dimana sahaja mereka berada. Saran kepada yang mempunyai kemampuan, laksanakanlah ibadah korban seboleh-bolehnya mudah-mudahan Allah menerima amal kita sebagai ibadah yang membuktikan ketaatan kepada Allah.

Sabda Rasulullah yang dirwayatkan oleh Ibnu Majah, Rasulullah bersabda maksudnya : ” Sesiapa yang mempunyai kemapuan sedangkan Dia tidak melakukan ibadat korban maka janganlah Dia mendekati tempat Solatku “

Sekian wallahu a`lam

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: